Saturday, May 30, 2009

BANDINGAN ORANG YANG DIUJI

MARI kita lihat suatu perbandingan. Katakanlah suatu ketika seorang guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar dispilin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu?
Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia akan segera terfikir kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan.
Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya.
Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru pula menjalankan keadilan, yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan.
Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita. DiberikanNya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mangambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.
Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh daripada Allah, mengeluh dan menyesali takdir Allah.
Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah segala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus daripada Allah. Dan ingatlah, andai kata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana ada 1001 jenis ni'mat lain yang Allah kurniakan kepada kita!
Jadi mengapa mesti takut dan bersedih bahkan merungut ketika diuji??